Sunday, March 25, 2007

Pendidikan jalan raya tidak bebankan guru - NUTP

KUALA LUMPUR 16 Mei - Elemen pendidikan keselamatan jalan raya yang diserapkan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu mulai tahun depan tidak akan membebankan tugas guru, sebaliknya berupaya menjadikan proses pengajaran dan pelajaran lebih berkesan.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan (NUTP), Ismail Nihat berkata, elemen tersebut bukan sahaja meningkatkan kemantapan bahasa malah membantu pelajar merencana segenap aspek kehidupan seharian.
Menurutnya, mata pelajaran Bahasa Melayu tidak terhad kepada pembelajaran bahasa semata-mata tetapi penerapan nilai-nilai murni diyakini dapat mengukuhkan penggunaan bahasa.
``NUTP menyambut baik cadangan tersebut dan melihat elemen berkenaan sebagai usaha menambah baik penggunaan Bahasa Melayu di samping menerapkan nilai-nilai murni kepada pelajar,'' katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan Jalan Raya yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kelmarin, memutuskan untuk menjadikan program pendidikan keselamatan jalan raya sebagai salah satu elemen pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu mulai tahun depan.
Rancangan jangka masa panjang tersebut juga akan melibatkan empat tahap pelajaran iaitu murid-murid tahun satu hingga tiga; tahun empat hingga enam; tingkatan satu hingga tingkatan dua dan tingkatan empat, sebagai langkah mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya di negara ini.
Ismail menambah, penerapan nilai tersebut tidak akan membebankan tugas guru dan menambah keperluan tenaga pengajar selagi elemen tersebut hanya diselitkan sebagai komponen mata pelajaran, bukannya suatu mata pelajaran baru.
Malah, guru-guru juga disarankan supaya menghayati pendidikan keselamatan jalan raya bagi membantu merealisasikan matlamat kerajaan untuk mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya, katanya.
Ismail bagaimanapun berkata, dalam masa yang sama, Kementerian Pelajaran perlu menilai cadangan tersebut memandangkan ia perlu mengubah isi kandungan buku teks, sekali gus memungkinkan peningkatan kos percetakan buku teks baru

1 comment:

zai said...

blog menarik dan penuh maklumat berguna.